Tuesday, May 10, 2011

PRAKATA Pengetua TESMaL

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulilah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, maka SMK Mak Lagam telah dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) fasa 5 pada tahun ini. Hasrat untuk mewujudkan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dan Sekolah Berprestasi Tinggi adalah sejajar dengan hasrat 1 Malaysia iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Pemilihan SMK Mak Lagam sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi diharapkan mampu meningkatkan kualiti pencapaian sekolah dalam semua bidang yang diceburi. Hal ini kerana, melalui peningkatan tahap autonomi membolehkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pendidikan (contoh : pengurusan organisasi, pengurusan instruksional , pengurusan kurikulum, pengurusan kewangan dan pengurusan sumber manusia. SMK Mak Lagam sepanjang usia penubuhannya telah mampu melahirkan produk pelajar yang cemerlang dalam PMR dan SPM. Hampir seratus peratus pelajar lepasan SPM bermula tahun 2007-2010 telah berjaya menempatkan diri di institusi pendidikan awam di dalam negeri mahupun di luar negara. Diharapkan pemilihan SMK Mak Lagam sebagai sebuah sekolah Kluster Kecemerlangan dan SBT, mampu menghasilkan produk pelajar yang cemerlang dan berkaliber dan seterusnya menjadi personaliti unggul dalam semua bidang yang diceburi.
SMK Mak Lagam sebagai sekolah Elit Negeri Terengganu juga mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta mampu menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sebagai salah sebuah Sekolah Elit Negeri Terengganu SMK Mak Lagam ialah sebuah sekolah yang cemerlang secara holistik dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun sahsiah diri pelajar. Sekolah juga mempunyai kebitaraan akademik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang mana telah melonjakkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan PMR dan SPM.
Saya berkeyakinan pemiilihan SMK Mak Lagam sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan diharapkan dapat menjadi model kepada sekolah yang berhampiran dan menjadi enabler kepada pembangunan pendidikan sekolah berhampiran. Budaya kerja berpasukan dan kerjasama erat bagai aur dan tebing antara warga sekolah dan pihak-pihak lain diharapkan akan dapat memastikan SMK Mak Lagam terus unggul dan berkembang maju dalam semua aspek yang diceburi.

1 comment: